Tuesday 13 March 2012

MENCEGAH KEMUNGKARAN

Maksud hadith Rasulullah s.a.w "sesiapa yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mencegah dengan tangannya, jika tidak mampu maka cegahlah dengan lisan dan jika tidak mampu maka cegahlah dengan hati". Mafhum daripada hadith ini ialah jika melihat kemungkaran maka menjadi kewajipan ke atas setiap individu muslim untuk mengecegah kemungkaran yang berlaku. Walaupun tidak berkemampuan tetapi kemungkaran tetap akan kena cegah. Mencegah dengan tangan bermaksud mencegah dengan kekuasaan yang ada sama ada yang diperolehi secara langsung seperti polis, pegawai pencegah, guru, ketua kampung, pengawas sekolah, bwp dan sebagainya yang telah diberi peruntukan kuasa padanya mengikut tahap-tahap yang dihadkan. Manakala secara tidak langsung pula ialah peranan kita sebagai umat Islam dan anggota masyarakat Muslim yang mana mencegah kemungkaran ialah menjadi tanggungjawab yang amat besar dan semua muslim dibebani dengan taklif (tanggungan) untuk mencegah kemungkaran. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah Taala yang bermaksud " Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Maka berdasarkan ayat ini wajiblah atas setiap umat Islam yang mukalaf itu melaksanakan al-Amr Makruf al-Nahi al-Mungkar iaitu menyuruh mengerjakan kebajikan dan melarang berbuat kejahatan. Mencegah dengan lisan pula ialah mencegah dengan cara lembut iaitu dengan menasihati dengan penuh hikmah. Jika tidak mampu mencegah dengan kuasa sama ada kerana orang awam biasa ataupun kerana merasakan ketidakmampuan disebabkan kerana faktor lain seperti yang melakukan kemungkaran ramai maka tidak mampu dan tidak mampu itu pula dilihat dari sudut ancaman kepada diri kita jika ingin mencegah dengan kekuasaan, maka hendaklah menggunakan kaedah yang lebih lembut iaitu nasihat. Ketidak mampuan dilihat dari sudut kerana kita tiada peruntukan kuasa seperti pegawai penguatkuasa, polis dan sebagainya maka mencegah dengan lisan juga membawa erti melakukan forum, dialog, ceramah, perbincangan, seminar dan program-program lain yang lebih bersifat penyembuhan hati secara halus. Mencegah dengan hati pula ialah bermaksud mengecah dengan membenci perbuatan kemungkaran yang berlaku di sekitar kita. Membenci di sini membawa maksud menjauhi atau memulaukan perlakuan keji dan pada masa yang sama masih lagi menggunakan medium berdakwah dengan lisan secara perlahan-lahan. Sebagai contoh kemungkaran yang berlaku ialah kegiatan lumba haram yang dilakukan oleh manusia pelesit mengunakan motosikal atau kereta, maka tanggungjawab kita sebagai seorang muslim ialah menjauhi atau membenci perbuatan itu kerana kita tidak berkemampuan untuk mengadakan road block ataupun menahan atau melakukan pemeriksaan. Jika kita melihat dari dekat sebagai contoh, menonton ditepi jalan raya maka kita dikira sudah tergolong dalam golongan orang yang melalakukan kemungkaran kerana kehadiran kita dikira sebagai menyokong atau memeriahkan suasana. Begitu juga jika kita mengunjungi kelab-kelab malam walaupun kita tidak terlibat sama dengan aktivit di sana seperti minum arak, menari dan sebagainya, tetapi kehadiran kira dikira juga kerana menaikkan lagi suasana dan menyumbang ke arah  potensi kemajuan industry maksiat tersebut. Ia dikatakan sebagai selemah-lemah iman kerana mencegah dengan hati hanya mencegah diri kita sendiri sahaja tetapi perkara maksiat itu tetap juga akan berlaku. Ini bermakna mencegah maksiat dalam Islam berlangsung dua hala, pertama mengegah diri kita dan orang lain, kedua mencegah diri kita sendiri jika tidak mampu mencegah orang lain sekali. Hal ini bersesuaian dengan maksud firman Allah Taala “Dan berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran. Ada pun yang menjadi masalah kepada umat Islam masa kini ialah kita sering mendengan ungkapan “jaga tepi kain orang”, “diri belum sempurna”, “sempurnakan diri sendiri dahulu baru boleh menegur orang lain”, “nak tegur orang sembahyang pun tak cukup”. Sebenarnya inilah virus yang melanda umat Islam masa kini hasil daripada kejayaan musuh-musuh Islam selama ini. Ditambah pula dengan sikap umat Islam sekarang yang semakin jauh dengan cara hidup Islam dan menolak Islam (secular) maka mereka yang lebih-lebih menggunakan ungkapan ini walaupun musuh Islam sudah lama mendiamkan perkara ini. Ingatlah wahai saudara-saudaraku bahawa mengcegah kemungkaran bukanlah perkara main-main dan dibuat mengikut suka, tetapi telah ditetapkan oleh Allah Taala bahawa menjadi kewajipan kita untuk mencegah kemungkaran. Satu analogy, jika dikatakan kita belum sempurna dan terjadi suatu perkara mungkar di depan mata kita, sebagai contoh kecurian motor, adakah kita akan membiarkan sahaja perbuatan itu berlaku? Perlu difahami bahawa perkara mungkar bukan hanya melibatkan kejatuhan moral dan perbuatan sumbang sahaja tetapi semua perkara yang menyalahi syariat Allah Taala, sama ada nombor ekor, puja kubur, zina, arak, dera, mencuri, merompak bank, penipuan sama berbentuk kolar putih dan selain itu, rasuah, vandelisma dan sebagainya yang dipandang salah dari sudut syarak, budaya dan adat. Inilah yang perlu difahami, usah ditegak benang yang basah. Memang sifat manusia yang tidak sempurna dan melakukan kesalahan, jika diambil kira maka semua manusia ada buat kesalahan sampai mati kecuali para nabi dan Rasul Allah. Jadi untuk siapakah ayat-ayat al-Quran yang menyuruh mencegah kemungkaran itu? Sampai mati manusia tidak akan sempurna dan sampai mati manusia akan sentiasa melakukan kesalahan, maka tidak perlu mengecah kemungkara, adakah begitu? Perlu difahami, memang ada Nabi menyatakan bahawa sempurnakan dahulu diri kamu sebelum mencegah orang lain melakukan kemungkaran tetapi kesalahan atau kesilapan yang dilakukan oleh manusia perlu dilihat tahap-tahap perlakuan salah itu. Perbuatan manusia terdiri daripada dua perkara, yang pertama ikhtiari dan kedua ijbari. Ikhtiari ialah perbuatan manusia yang dibuat secara pilihan sendiri tanpa paksaan dan ijbari pula ialah perbuatan manusia yang dibuat secara tidak sedar, biasanya berbentuk kesalahan. Kalau manusia melakukan kesalahan secara ikhtiari maka itulah yang boleh diambil kira, sebagai contoh seseorang yang menasihati rakannya sepaya rajin belajar, dan pada masa yang sama dia sentiasa memonteng kelas dan membuat kesalahan disiplin yang berat inilah yang dimaksudkan sempurnakan dahulu diri kamu. Ijbari pula jika seseorang yang menasihati sahabatnya dan jarang-jarang sekali dia mengantuk dalam kelas maka ini tidak diambil kira kerana mengantuk ini perkara diluar kemampuan manusia untuk mengelak, ataupun lupa dan sebagainya. Itulah yang dimaksudkan manusia tidak sempurna, iaitu manusia tidak mampu mengelak perkara yang menjadi kelemahannya secara semula jadi tadi bukannya tunggu sempurna diri dulu baru boleh mencegah kemungkaran. Kita mesti lihat juga tahap kemungkaran atau kesalahan yang dilakukan adakah besar atau kecil, kalau besar barulah boleh dikatakan sempurnakan dahulu diri kamu sebab kebiasaannya kesalah yang besar atau dosa besar dilakukan dengan membuat pilihan sama mahu buat atau tidak, jadi jika membuat kesalahan atau dosa besar maka seseorang itu memilih perkara maksiat, barulah boleh kita katakana kepadanya sempurnakan dahulu diri kamu baru menasihati orang lain. Oleh itu marilah sama-sama kita muhasabah kembali diri kita, kembalilah kepada cara hidup Islam yang sebenar. Cegahlah kemungkaran kerana banyak faedah daripadanya.